KUCHING: Perbincangan mengenai perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara tujuan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan tiga lagi menteri persekutuan Sarawak pada Khamis.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, mereka bertemu dan membincangkan beberapa isu berkaitan MA63 yang boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan.

“Selain itu, terdapat beberapa isu berkaitan perundangan, yang kami fikir tidak dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan.

Abang Johari ketika berucap pada majlis Perasmian Seminar Falak Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Penerangan Islam (IIC).

“Fadillah juga sedar tentang isu itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis Perasmian Seminar Falak Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Penerangan Islam (IIC), di sini, hari ini.

Tambahnya, beliau juga telah bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa hari lepas untuk membincangkan mengenai MA63 serta mekanisme berkaitan perkara dalam membangunkan projek persekutuan di Sarawak.

“Seperti apa yang saya katakan, ia adalah mengenai Tabung Amanah (Trust Fund), bagaimana mekanisme kita akan digunakan untuk membangunkan projek melalui dana amanah.

“Dan saya yakin, dengan ini, birokrasi tidak akan menebal sama sekali.

“Sebenarnya, apa yang penting ialah pemerkasaan atau penurunan kuasa kepada negeri,” katanya.

Sementara, dalam ucapannya, Abang Johari berkata pelantikan Timbalan Perdana Menteri dari negeri itu dalam kabinet persekutuan tidak pernah ada dalam agenda Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Siapa sangka Fadillah akan menjadi TPM, kerana mereka memerlukan sokongan kita, dan saya akur dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong mengenai kerajaan perpaduan untuk Malaysia, saya berkata ‘okay’ apabila Anwar melantik TPM dari Sarawak,” tambahnya.

Suara Sarawak