KUCHING: Beberapa perkara dan tuntutan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang tidak memerlukan pindaan Perlembagaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ia termasuk Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan berhubung pemberian geran khas dan wakil dalam Lembaga Pengarah Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Tuntutan Sarawak adalah terbahagi kepada dua. Ada yang masih tergantung dan dapat diselesaikan. Malah masih terdapat banyak perkara yang perlu dibincang dan dirunding termasuk memerlukan pindaan dan perubahan pada undang-undang sedia ada.

“Antara perkara yang mungkin dapat diselesaikan segera seperti tuntutan geran dengan Sarawak sudah mengemukakan formulanya, begitu juga dengan wakil dalam LHDN. Ini antara perkara-perkara yang telah dipersetujui secara prinsip,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Persidangan Dewanita Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) 2022 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya tuntutan seperti pertambahan 35 peratus Ahli Dewan Rakyat di Parlimen pula mengambil masa untuk diselesaikan kerana memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah antara perkara yang memang tidak boleh diselesaikan dalam masa terdekat. Apa yang kita harapkan adalah beberapa tuntutan, kalau boleh diselesaikan secepat mungkin dalam tempoh satu bulan,” ujarnya.

Terdahulu pada minggu lalu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ada beberapa perkara dalam tuntutan MA63 tidak boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan.

Katanya, hal ehwal perundangan menjadikan perkara itu tidak boleh diselesaikan dalam tempoh dikehendaki dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang dipertanggungjawabkan menyelesaikan perkara berkaitan MA63 sudah mengambil maklum mengenainya.

Terdahulu Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya memberitahu akan berusaha menyelesaikan segala tuntutan berkaitan MA63 dalam tempoh sebulan seperti yang diamanahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, semua perkara berbangkit mengenai MA63 yang boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan akan diselesaikan segera, manakala perkara lain yang perlu kelulusan akan dibawa ke Parlimen.

Suara Sarawak