KUCHING: Lebih ramai golongan wanita digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan di bawah Program MamaCare demi penjagaan kesihatan dalaman yang lebih baik khususnya selepas bersalin.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, dalam masa yang sama ia mampu menyumbang pertambahan pendapatan kepada pengamalnya, iaitu golongan wanita termasuk ibu tunggal dan warga emas.

“Ia satu program yang amat bagus khususnya bagi membantu golongan wanita menjana pendapatan tambahan sama ada yang mempunyai pekerjaan sendiri atau sebagai kerja sampingan.

Datuk Seri Nancy Shukri mencuba sendiri perkhidmatan urutan yang ditawarkan Program MamaCare di UTC Kuching, hari ini.

“Setakat ini, program ini amat murah dengan caj perkhidmatan bermula serendah RM60 sejam. Oleh itu, saya berharap lebih ramai wanita yang akan menggunakan perkhidmatan MamaCare ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Pusat Penjagaan Ibu Selepas Bersalin, Mama Care, di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching, hari ini.

Menurutnya, program memartabatkan urutan tradisional melayu kepada perkhidmatan profesional penjagaan ibu selepas bersalin yang dimulakan sejak tahun 2014, setakat ini mempunyai seramai 120 pengamal di seluruh Sarawak.

“Malah program yang menyediakan penjagaan holistik seperti ini amat laris pada zaman sekarang termasuk di negara barat kerana perkhidmatan ini amat diperlukan oleh golongan wanita terutamanya mereka yang baharu bersalin,” ujarnya.

Hadir sama Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sarawak Shahriah Saharom dan Pengurus MamaCare UTC Kuching Rosemawati Bolhassan.

Untuk rekod, program MamaCare telah dilaksanakan di LPPKN Sarawak pada tahun 2014 bertujuan untuk membantu meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan reproduktif wanita dan keluarga.

Pengamal MamaCare telah diperakui dengan Sijil Amalan Profesional Urutan Melayu MamaCare dari LPPKN.

Suara Sarawak