Datuk Wee Hong Seng.

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) komited meneruskan usaha merealisasikan visi Kerajaan Sarawak pada tahun 2023 kata Datuk Wee Hong Seng.

Datuk Bandar Kuching Selatan itu berkata, ia bagi memastikan masyarakat dapat berkembang maju dengan sokongan daripada pihak kerajaan.

“Banyak yang kita nantikan untuk tahun hadapan termasuk pertumbuhan dan pembangunan bandar dalam menyediakan asas perkembangan bandar ini.

“MBKS sedang memulakan projek infrastruktur awam utamanya yang pertama dalam beberapa dekad. Pusat gastronomi UNESCO baharu dan taman air keluarga bakal menjadi hab komuniti untuk semua penduduk bandar.

“Ia sekali gus akan menghidupkan semula pusat bandar tradisional, yang sudah menjadi tarikan penduduk tempatan dan pelawat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama katanya, beliau mengharapkan agar semua penduduk bandar sentiasa memberi sokongan terhadap perancangan yang diteruskan di sini.

Menyentuh berhubung sambutan tahun baharu 2023, Wee meluahkan rasa syukur terhadap keadaan Sarawak yang bertuah kerana dapat hidup dalam keadaan aman dan damai.

“Kita bertuah tinggal di negeri ini. Di seluruh dunia, ramai yang mengalami keadaan termasuk melarikan diri daripada peperangan, konflik dan masalah yang pelbagai.

“Kita juga menghadapi cabaran tersendiri, namun kita masih kekal berhubung antara satu sama lain, selamat dan terjamin sebagai sebuah bandar,” katanya.

Suara Sarawak