JUARA….Barisan pemain Miri FA bersorak kegembiraan meraikan kejayaan muncul juara.

KUCHING: Skuad Miri FA menepati ramalan apabila muncul juara Liga Bola Sepak Bawah 20 Tahun SSC/FAS 2022.

Menumpaskan Serian FA (5-3) menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-duanya terikat (1-1) untuk masa penuh perlawanan 120 minit termasuk 30 minit masa tambahan, pada aksi final yang berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya petang tadi.

Sekali gus, meletakkan kredibiliti skuad bandar minyak itu sebagai kuasa baharu dalam kancah bola sepak Sarawak untuk peringkat umur tersebut.

Lantas, memuktamadkan barisan kendalian Mohd. Hakimi Man untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta piala pusingan, piala iringan dan pingat.

Berbanding wang tunai RM7,000 beserta piala dan pingat diterima pasukan Serian FA selaku naib juara.

Serian terdahulu mengemudi perlawanan menerusi gol dijaringkan ketua pasukan, Zaifudin Seruji minit ke-56. Berbanding gol penyamaan Miri FA yang dijaringkan juga ketua pasukan, Harith Danielle Abdullah minit ke-74.

Dalam pada itu, pasukan Kuching FA dan PSSI Kalimantan Barat (Indonesia) yang tewas diperingkat separuh akhir, masing-masing menerima wang tunai RM3,000, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Morshidi Fredrick.

Hadir sama Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Mohd. Saif Jubaidi serta barisan exco yang lain.

Pusingan akhir Liga Bola Sepak Bawah 20 Tahun SSC/FAS 2022 yang bermula pada 26 November lalu menghimpunkan sembilan pasukan dengan format liga kumpulan.

Kumpulan A dengan empat pasukan iaitu Miri FA, Serian FA, PEC Bintulu dan Sarikei FA.

Manakala, kumpulan B menyaksikan lima pasukan iaitu Kapit FA, Kuching FA, Limbang FA, PEC Kapit dan wakil negara jiran, PSSI Kalimantan Barat (Indonesia).

Suara Sarawak