Fadillah (tengah kanan) selepas mendarat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini, hari ini. Turut kelihatan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang  (FOTO: Ramidi Subari)

KUCHING: Empat daripada lima Menteri Penuh bagi kabinet kerajaan Perpaduan akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS jam 2.30 petang ini.

Perkara ini dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang menyatakan bahawa kunjungan hormat ini disertai olehnya bersama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Bagaimanapun katanya, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing tidak dapat menghadirkan diri atas komitmennya untuk menghadirkan diri dalam taklimat bagi agensi kementeriannya itu.

“Tujuan kami (kunjungan hormat) adalah untuk mendapat arah panduan daripada kepimpinan tertinggi di Sarawak dan perhatian khusus yang perlu kami laksanakan sebagai lima Menteri Penuh Persekutuan mengenai keutamaan yang perlu kami tumpukan untuk Sarawak.

“Selain itu, tujuan kita balik juga adalah untuk diberi taklimat berhubung kait dengan status kerajaan perpaduan yang telah ditubuhkan dan bagaimana peranan kita (GPS) di peringkat Persekutuan dalam kerajaan perpaduan. Ini sebenarnya tujuan kunjungan hormat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mendarat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya mendedahkan perjumpaan yang diadakan petang ini juga membincangkan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, beliau telah diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan segala tuntutan MA63 dalam tempoh sebulan.

Suara Sarawak