KUCHING: Sebuah syarikat dari Korea Selatan, OCIM Sdn Bhd telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni di pejabatnya di Bangunan Masja 1 di sini, pada Selasa.

Delegasi bagi Syarikat yang berpangkalan di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, Sarawak itu diketuai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Steve Choi Sung Kii bersama Pengurus Jabatan Pengurusan Perniagaan, Ngu Siew Yen.

Dalam kunjungan hormat itu, Steve Choi telah menyatakan minat mereka untuk bersama dengan Kerajaan Sarawak dalam merealisasikan inisiatif penerokaan tenaga hijau di negeri ini.

Steve menyampaikan cenderahati kepada Dr Hazland semasa kunjungan hormat ke Pejabat  Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar di Bangunan Masja 1 pada Selasa.

Katanya, ia selari dengan prospek perniagaan mereka di Sarawak dalam konteks Tenaga Hijau dan Rantaian Nilai Semikonduktor.

“Dalam konteks Tenaga Hijau, OCIM Sdn Bhd telah menghasilkan bahan seperti ‘Silicon Metal’ (Mg-Si) untuk PMB Technology dan juga ‘Polysilicon’ untuk OCI.

“Turut dihasilkan bahan-bahan seperti ‘wafer’, solar dan ‘module’ bagi keperluan Syarikat LONGi serta pemasangan solar,” katanya.

Tambah beliau, selain tenaga hijau, OSIM Sdn Bhd yang terlibat dalam Rantaian Nilai Semikonduktor juga menghasilkan ‘Silicon Metal’ (Mg-Si) dan ‘Polysilicon’.

Selain itu katanya, mereka turut menghasilkan reka bentuk, ‘wafer’ dan chip untuk beberapa syarikat terkemuka di Korea Selatan antaranya Samsung dan SK serta menyediakan faundri (foundry) untuk XFAB di Sarawak.

Ujar Steve Choi lagi, bermula 2017 hingga 2022, OCIM Sdn Bhd telah memfokuskan kepada perniagaan tenaga hijau apabila telah membuat  pelaburan sebanyak RM2.2 bilion dan menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di Miri dengan kerjasama Universiti Curtin.

Jelas beliau lagi, bermula tahun 2023, syarikat itu  juga akan terus melabur dalam ‘Polysilicon’ dengan melancarkan rantaian nilai semikonduktor dan memperkukuh rantaian nilai solar di Sarawak.

Dalam perkembangan yang sama, Steve mendedahkan syarikat itu akan terus menambah jumlah pekerjanya pada tahun akan datang babi memperkukuhkan peranan OCIM Sdn Bhd di Sarawak.

“Kita akan menambahkan jumlah pekerja kepada 1,900 pada tahun-tahun akan datang berbanding 650 orang pada 2021 dengan memberi keutamaan kepada penduduk dan tenaga pakar tempatan Sarawak,” katanya lagi.

Hadir sama Ketua Unit Tenaga MEESty Rusmaliza Mat Darus, Ikmal Hisham Maharon dan Awang Mohamad Razif Awang Yusuf.

Suara Sarawak