KUCHING: Op Bersepadu cegah jenayah sempena perayaan Krismas dan sambutan tahun baharu akan dijalankan bermula 24 Disember sehingga 1 Januari 2023.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, operasi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak ini bertujuan untuk memerangi jenayah di semua daerah.

“Ia termasuk membanteras kes samun tepi jalan, pecah rumah dan lain-lain kes kecurian bagi mewujudkan persepsi rasa selamat dalam kalangan masyarakat.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri ketika sidang media.

“Selain itu, bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut ketika musim perayaan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengguna jalan raya supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika memandu bagi memastikan perjalanan yang selamat dan lancar.

“Sekiranya perjalanan ke destinasi jauh, pastikan berada dalam keadaan cergas dan rehat sebentar sekiranya letih atau mengantuk. Patuhi papan tanda dan had laju yang ditetapkan,” ujarnya ringkas.

Dalam pada itu, Mohd Azman turut menasihati agar mereka yang meninggalkan premis atau rumah semasa musim perayaan agar memastikan keselamatan persekitaran sebelum meninggalkan rumah.

Tegasnya lagi, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri serta keluarga agar perjalanan untuk sampai ke destinasi, pada masa sama keadaan rumah berada dalam keadaan selamat.

Suara Sarawak