KUCHING: Seramai 54 individu melibatkan 42 lelaki dan 12 perempuan berjaya ditangkap dalam 43 serbuan Op Soga IX dalam tempoh 19 November sehingga 21 Disember 2022.

Tangkapan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak ini membabitkan 50 orang warga tempatan dan empat warganegara asing berumur dalam lingkungan 18 hingga 53 tahun melibatkan seluruh daerah dalam negeri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, fokus utama Op Soga IX bertujuan untuk membanteras kegiatan catit taruh tanpa lesen sah sepanjang Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Qatar 2022.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri ketika menunjukkan barang rampasan yang digambar.

“Sebanyak 43 kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dengan kesemua tangkapan direman untuk siasatan lanjut.

“Daripada jumlah tersebut, 17 kertas siasatan telah dituduh di mahkamah, manakala baki sebanyak 26 kes masih berstatus dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, empat unit komputer, telefon pintar (47) dan laptop (dua), tablet (tiga), mobile printer (satu), mesin pencetak (empat), kad sim (tiga), 20 keping kertas jadual perlawanan dan 17 keping kertas catitan taruhan dirampas.

RAMPAS… gambar memaparkan antara barang yang dirampas menerusi Op Soga.

“Turut dirampas wang berjumlah RM6,744, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sekitar RM50,000,” dedahnya.

Mohd Azman turut menegaskan bahawa operasi membanteras kegiatan tersebut akan diteruskan bagi membendung kes-kes seumpamanya.

Suara Sarawak