Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri menunjukkan kejayaan polis dalam operasi membanteras sindiket dadah turut kelihatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Anta (kiri) di IPK Kuching hari ini

KUCHING: Seramai 240 individu ditahan berserta pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM39,058 dirampas dalam tempoh tiga hari Op Tapis Khas dijalankan di Sarawak.Operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak pada 6 hingga 8 Disember lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, suspek yang terdiri daripada 230 lelaki dan 10 wanita berumur antara 17 hingga 70 tahun itu ditangkap atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 147 orang yang ditangkap didapati positif pelbagai jenis dadah.

“Dalam operasi ini, sebanyak 54 waran tangkap kes-kes dadah telah berjaya disempurnakan.

“Sebanyak 154 serbuan dan pemeriksaan telah dijalankan iaitu 15 serbuan di kawasan PPRT, 15 di pot-pot aktif dan selebihnya di pelbagai lagi tempat seperti kawasan perumahan, perkampungan dan lain-lain tempat yang digunakan untuk aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Op Tapis Khas 7/22 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Dalam operasi ini, Azman berkata pihak polis juga telah merampas 385.78 gram syabu, 1.94 gram (enam biji) pil erimin 5 dan 7.85 gram (26 biji) pil ekstasi yang bernilai RM39,058.

“Keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 1,961 orang penagih,” jelasnya.

Beliau memberitahu, rampasan dadah yang tertinggi dilakukan di Daerah Padawan iaitu bernilai RM20,699 diikuti oleh Miri bernilai RM5,973.50 dan Bintulu bernilai RM3,690 diikuti lain-lain daerah.

Sementara, beliau berkata, sebanyak 187 kertas siasatan dibuka dalam tempoh operasi ini di mana 10 atau 5.3 peratus daripadanya telah dituduh di Mahkamah manakala bakinya masih dalam siasatan.

Suara Sarawak