Pacu industri pelancongan demi pembangunan sosioekonomi negara
Datuk Seri Tiong King Sing

KUCHING: Datuk Seri Tiong King Sing, 61, bertekad untuk memikul tanggungjawab baharunya sebagai Menteri Pelancongan dengan sehabis baik demi kepentingan rakyat dan negara.

Ahli Parlimen Bintulu itu turut berharap warga Kementerian Pelancongan Malaysia, agensi-agensi di bawahnya, para pemain industri serta pihak berkepentingan dapat bersama-sama membantu beliau membangunkan industri tersebut ke tahap yang lebih tinggi.

“Seterusnya merealisasikan dasar kementerian dalam memacu sektor pelancongan dan kebudayaan yang berdaya saing dan lestari demi pembangunan sosioekonomi negara,” katanya mengulas mengenai pelantikannya sebagai Menteri Pelancongan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, hari ini.

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) itu turut menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari atas kepercayaan untuk beliau menggalas tanggungjawab tersebut.

“Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan selamat berkhidmat kepada semua anggota Kabinet yang telah dilantik.

“Ia bukanlah tugas mudah, terutama ketika Malaysia dan dunia mendepani cabaran ekonomi, namun saya bersama-sama barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan ini akan berusaha bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas,” tambahnya.

Pada malam Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Tiong dilantik sebagai Menteri Pelancongan, salah seorang daripada 28 Menteri Kabinet yang mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, hari ini.

Pada 2020, Tiong dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China bertaraf menteri, yang berperanan mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara terbabit khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur pada tahun 2014 hingga 2018.

Suara Sarawak