Tertuduh (baju kelabu) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret 2 oleh anggota polis di Kuching, hari ini.

KUCHING: Gara-gara melontarkan kata-kata ugutan jenayah berbunyi ‘ kamu jaga-jaga lepas ini’ kepada pengerusi surau, seorang ahli jemaah surau dijatuhi hukuman denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Ezat Fahmi Mansor, 45, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.

Nursyaheeqa menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, dia sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa lelaki berusia 59 di sebuah surau di Jalan Depo, kira-kira jam 9 malam, 20 Disember lalu.

Difahamkan, punca kejadian kerana tertuduh telah lama tidak berpuas hati dengan pengerusi surau terbabit yang dikatakan mengutamakan kroni-kroni jemaah dan enggan mendengar nasihat serta keluhan ahli-ahli jemaah yang lain.

Selain itu, sebelum kejadian, tertuduh telah mengutarakan pendapatnya namun diperlekehkan oleh mangsa hingga menyebabkan tertuduh berang lalu melakukan kesalahan tersebut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak