BERCAKAP….Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Datuk Khirudin Drahman @ Hussaini

KUCHING: Jumlah panggilan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak merekodkan penurunan 30 peratus iaitu 9,875 berbanding 14,053 jumlah pada tahun 2021.

Panggilan penyelamatan mencatat jumlah panggilan tertinggi iaitu 8,059 setakat 28 Disember lalu, diikuti panggilan kebakaran sebanyak 1,816.

Manakala panggilan bagi tugas-tugas khas adalah sebanyak 627 diikuti sembilan panggilan palsu.

Pengarahnya, Datuk Khirudin Drahman berkata, penurunan 30 peratus kadar panggilan terbabit membuktikan masyarakat kini lebih peka dalam mendepani isu keselamatan mengurangkan kebakaran.

“Usaha-usaha melibatkan masyarakat terhadap aktiviti kesedaran kebakaran yang pihak kita jalani termasuk golongan suri rumah, kanak-kanak sudah mula sedar dan impaknya menyumbang kepada penurunan ini.

“Respon awal masyarakat sendiri itu sebenarnya penting. Jadi dengan adanya hebahan berita yang cukup positif, termasuk advokasi banjir yang dijalankan, perkara inilah membantu kebergantungan masyarakat terhadap bomba,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Apresiasi JBPM Negeri Sarawak Tahun 2022 di Ibu Pejabat Bomba Sarawak hari ini.

Tambah Khirudin, hal ini juga membuktikan masyarakat Sarawak tidak ‘manja’ dalam perkara khususnya melibatkan pengurangan impak dalam sesuatu tragedi.

Tegasnya, kepekaan masyarakat sebagai individu pertama mengekang sesuatu insiden.

Beliau dalam ucapan majlis sama menegaskan supaya hubungan masyarakat bersama bomba akan sentiasa terjalin bagi memastikan perkhidmatan lima bintang penugasan bomba dapat dikekalkan.

Suara Sarawak