Syahrullah (kanan) dan adiknya, Hazarullah membuktikan kemampuan mereka apabila mengungguli Larian Perpaduan di Sarikei, semalam.

SARIKEI: Sikap tidak mengenal makna putus asa, menjadi pembakar semangat pasangan kembar seiras dari Saratok, apabila muncul tempat terbaik dalam acara larian perpaduan sempena Pesta Nanas dan Buahan Sarikei.

Sebenarnya, ia bukanlah kemenangan pertama mereka sebaliknya, Syahrullah Safri, 24, dan adiknya, Hazarullah, 24, pernah beberapa kali mencipta kejayaan besar dalam acara seumpama itu, sebelum ini.

Dalam Larian Perpaduan Sarikei, Syahrullah dan pasangan kembarnya, masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua selepas berjaya menamatkan larian dalam tempoh 15.21 saat dan 15.53 saat.

“Sebenarnya, kejayaan ini adalah sesuatu yang tidak kami duga kerana sebahagian besar peserta memiliki kelebihan dan pengalaman masing-masing. Mereka juga ada kehebatan tersendiri. Pendek kata, dalam edisi di Sarikei kali ini, kami berdepan dengan saingan yang cukup hebat.

“Bagaimanapun, acara kali ini kami meneruskan cabaran seperti biasa dan saya bersyukur, kami bermula dengan baik dan berakhir dengan kemenangan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Syahrullah pernah menjuarai larian juara KPJ Cancer Awareness Run 10 kilometer (km) selain menduduki tempat ke empat kategori Malaysia dan kelapan kategori terbuka lelaki dalam acara 42 km di Marathon Kuching.

Sementara Hazarullah pula, pernah mengenepikan cabaran peserta lain apabila menjuarai 30 kilometer Larian Momentum Kuching 2022 dan dan larian 21 kilometer di Betong.

Tidak sekadar itu, Syahrullah juga pernah melakar kejayaan apabila menjuarai Benak Road Trail Run 10 Kilometer Sri Aman manakala, adiknya menduduki tempat yang kedua dalam acara yang sama.

Suara Sarawak