Gambar hiasan

KETIKA dunia masih lagi berperang dengan virus Covid-19, Sarawak pada masa sama masih lagi berdepan dengan ancaman wabak rabies yang diisytihar sebagai endemik.

Wabak yang turut dikenali sebagai penyakit anjing gila ini menyebabkan radang otak pada manusia atau haiwan yang dijangkiti.

Simptom awal termasuklah demam atau terasa kebas pada tempat terkena jangkitan.

Simptom ini kemudiannya diikuti dengan beberapa simptom lain seperti kelakukan agresif, sawan, simptom takut air, tidak mampu menggerakkan bahagian tubuh badan, kekeliruan dan koma.

Penyakit yang dikenal pasti sejak 400 tahun lalu itu menyebabkan hampir 59,000 orang meninggal di seluruh dunia setiap tahun dengan 95 peratus berlaku di Asia dan Afrika.

Di Sarawak, wabak yang diisytiharkan pada 1 Julai 2017 setakat ini telah meragut sejumlah 50 nyawa.

Malah bilangan gigitan haiwan khususnya anjing dan kucing masih tinggi dengan purata 40 hingga 60 kes setiap hari.

Terbaharu, seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun meninggal dunia pada jam 11.41 pagi, 5 Disember lalu di Hospital Sibu.

Lelaki itu disahkan dijangkiti rabies melalui ujian makmal dan didiagnosa sebagai rabies encephalitis.

Setakat 6 Disember ini, Sarawak melaporkan sebanyak 14 kes rabies dalam kalangan manusia, termasuk 11 kes kematian.

Rabies merupakan penyakit sistem saraf yang disebabkan oleh jangkitan virus rabies.

Virus ini terdapat dalam air liur haiwan yang dijangkiti dan boleh menjangkiti manusia melalui gigitan atau semasa kontak langsung dengan air liur haiwan yang dijangkiti, sama ada melalui luka atau lapisan mukosa tubuh.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi berkata, rabies merupakan sejenis penyakit yang mempengaruhi sistem saraf dan otak seseorang.

“Apabila dijangkiti, peluang untuk individu sembuh sepenuhnya adalah tipis, malah lebih berisiko membawa kematian.

“Namun saya yakin virus rabies ini mampu dikawal dengan pemberian vaksin yang konsisten sama seperti ketika kita memerangi Covid-19,” katanya.

Gigitan atau cakaran anjing adalah punca utama bagi hampir kesemua kes rabies yang dilaporkan.

Jangkitan rabies kepada manusia boleh dielakkan melalui imunisasi rabies kepada haiwan tersebut.

Pastikan haiwan peliharaan mendapat imunisasi rabies setiap tahun bagi memastikan mereka kekal dilindungi daripada jangkitan rabies. Elakkan mengambil atau memelihara anjing yang tidak diketahui status kesihatannya.

Justeru, bagi memerangi wabak tersebut, Kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai program termasuk menyediakan peruntukan yang besar dengan sasaran sifar rabies menjelang 2025.

Antaranya RM7.07 juta di bawah Pelan Tindakan Program Kawalan dan Penghapusan Rabies.

Di samping menubuhkan pasukan Immune Belt Enforcement Team (IBET) bagi mencegah pencerobohan rabies di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan yang menjangkau lebih 1,200 kilometer dari Lundu ke Lawas.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) komited memastikan agar rawatan bagi luka gigitan anjing dan pemberian vaksin antirabies kepada penduduk yang terkesan mudah dicapai.

Sejumlah 26 buah fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negeri juga telah dikenal pasti bagi memudahkan tujuan tersebut.

JKNS turut sedang berusaha untuk menambahkan lebih banyak fasiliti kesihatan yang boleh memberikan rawatan dan vaksin kepada kes gigitan haiwan terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

Sementara itu, orang ramai diminta untuk memberikan kerjasama khususnya memastikan haiwan peliharaan terutamanya anjing dibawa untuk suntikan antirabies setiap tahun agar dilindungi dari jangkitan virus rabies.

Suntikan vaksin rabies pada anjing akan mengelakkan manusia daripada dijangkiti rabies.

Suara Sarawak