KOTA SAMARAHAN: Kementerian Pengangkutan Sarawak sedang melihat untuk membangunkan laluan yang menghubungkan batu pertama dan batu terakhir perkhidmatan Transit Aliran Automasi (ART), kata menterinya Datuk Seri Lee Kim Shin.

Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk memastikan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) menawarkan keselesaan dan kemudahan yang lebih baik untuk para penumpang.

“Bagi tujuan itu, bas hidrogen akan memberi perkhidmatan kepada kawasan terlibat dalam jarak dua kilometer (km) dari setiap stesen.

“Sarawak Metro juga akan mempertimbangkan untuk menambah bilangan bas sekiranya terdapat permintaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Fasa Pertama Projek KUTS yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di tapak cadangan Depot ART di Kota Samarahan, hari ini.

Sementara mengenai isu kesesakan lalu lintas, beliau memberitahu bagi menanganinya kementerian akan melihat kepada pelbagai jalan penyelesaian yang berdaya maju.

“Ini juga bermakna isu itu perlu ditangani bukan sahaja oleh satu kementerian, malah pelbagai agensi sama ada di peringkat negeri dan persekutuan bekerjasama untuk memastikan penduduk Kota Samarahan dapat terus menikmati kualiti hidup yang baik.

“Oleh itu, Kerajaan Sarawak sedang melihat pilihan untuk memasang lampu isyarat pintar di bawah projek lampu isyarat Kuching-Samarahan Expressway bagi menangani isu kesesakan trafik terutama di Kota Samarahan.

“Bagi tujuan itu, Sarawak Metro bekerjasama rapat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk memastikan sistem lampu isyarat pintar dan sistem ART akan berfungsi dengan lancar untuk manfaat semua penumpang dan pengguna jalan raya pada masa hadapan,” tegasnya.

Suara Sarawak