KUCHING: Sarawak berharap sempena 60 tahun pembentukan Malaysia, semua hak-hak yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dikembalikan pada tahun 2023.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dalam masa yang sama kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus berusaha membangunkan negeri ini khususnya kemudahan infrastruktur asas.

“Di ambang 2023, kita mempunyai perancangan untuk tahun hadapan. Sarawak telah mendapat satu era iaitu menjadi sebuah wilayah seperti sewaktu penubuhan Malaysia.

Abang Johari (tengah) tiba di Sambutan Ambang Tahun 2023 di Stadium Perpaduan, Kuching, sebentar tadi.

”Justeru, harapan kita adalah hak-hak di bawah MA63 akan terus dikembalikan balik kepada Sarawak apabila kita mencapai kemerdekaan 60 tahun,” katanya.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Ambang Tahun 2023 di Stadium Perpaduan Kuching, di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan bahawa pihaknya juga tidak akan berkompromi dalam beberapa lagi hak-hak Sarawak yang telah termaktub.

“Ada beberapa lagi perkara tidak boleh dibincang, ia merupakan hak-hak Sarawak. Antaranya hak pemilikan tanah, kawasan pelantar pesisir negeri dan juga kuasa autonomi imigresen.

“Kita juga akan terus mempertahankan sempadan wilayah negeri. Itu antara perkara yang tidak boleh dirunding,” tegasnya.

Beliau dalam pada itu menegaskan GPS akan terus komited membangunkan Sarawak dengan merancang pembangunan ekonomi termasuk Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 Sarawak (PCDS) 2030.

Suara Sarawak