SERIAN: Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) akan melibatkan kerjasama sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk pelaksanaan projek berimpak tinggi.

Kawasan Dun yang terlibat termasuk Tanjung Datu; Tasik Biru; Serembu: Mambong; Tarat; Tebedu; Bukit Semuja; Kedup; dan Opar.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif GKCDA Datuk Ik Pahon Joyik berkata, kerjasama Adun di kawasan tersebut penting kerana mereka rapat dengan rakyat dan sememangnya berada di lapangan.

BERCAKAP… Ik Pahon bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan program Mini Lab GKCDA di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian di sini, hari ini.

“Jadi ini mudah untuk mereka mendapatkan maklumat penting berhubung isu dan cabaran serta potensi pembangunan melibatkan kawasan masing-masing.

“Walaupun mereka diberikan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP), mungkin ada projek besar berimpak tinggi sukar dilaksanakan susulan isu peruntukan.

“Jadi, projek seperti itu boleh dilaksanakan di bawah GKCDA, dengan kerjasama sembilan Adun itu untuk memastikan kita mampu mencapai objektif yang disasarkan Kerajaan Sarawak,” katanya.

RAKAMAN KENANGAN… Ik Pahon merakam gambar kenangan bersama-sama peserta selepas menyempurnakan program Mini Lab GKCDA, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Mini Lab GKCDA di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian di sini, hari ini.

Mengenai program tersebut, beliau memaklumkan pihaknya berusaha untuk mengumpul maklumat di peringkat akar umbi khususnya berkaitan projek yang sedang dilaksanakan dan telah mendapat kelulusan bagi mengelakkan berlaku pertindihan projek.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn merangkap Adun Tarat sebelum ini memaklumkan bahawa GKCDA yang baru ditubuhkan itu mendapat dana RM1.5 bilion daripada Kerajaan Sarawak.

Menurutnya, Ik Pahon yang juga bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri dilantik ketua pegawai eksekutif pertama GKCDA.

Suara Sarawak