KUCHING: Pelbagai program serta kejohanan berada dalam radar Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri (PBBM) sepanjang tahun 2023.

Selain kekal dengan penganjuran Liga Miri 2023, badan induk berkenaan turut menghala fokus kepada penganjuran Klinik Futsal Bawah 12, 15 dan 17 tahun. Ia bertujuan meningkatkan pembangunan sukan bola sepak lima sebelah bahagian tersebut.

Presiden PBBM Nazri Ahmad Lai memberitahu, pelaksanaan program berkenaan akan diadakan di Bekenu semasa musim cuti sekolah.

PRESIDEN PBBM…Nazri Ahmad Lai.

“Klinik berkenaan akan dijayakan menerusi kerjassma jurulatih dari Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

“Perancangan awal kita untuk melaksanakan klinik berkenaan sebanyak enam sesi,” ujar Nazri kepada Arena Suara Sarawak.

Klinik berkenaan anjuran PBBM dengan kerjasama Pusat Khidmat Sibuti dan Unit Kokurikkum Jabatan Pendidikan Daerah Subis, Miri.

“Setakat ini perkara tersebut masih dalam perbincangan dan sebab itu masih belum ada ketetapan tarikhnya,” tambah Nazri lagi.

Mengenai penganjuran Liga Miri 2023, Nazri akui pihaknya masih belum menetapkan tarikh penganjurannya.

“Mesyuarat bersama barisan Exco PBBM akan diadakan selepas Kongres Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) 2023-2025 yang akan berlangsung pada 28 Januari nanti.

“Mungkin selepas itu kita akan dapat menetap tarikh untuk memulakan penganjurannya,” jelas beliau lagi.

Suara Sarawak