KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan sentiasa memelihara kebebasan beragama rakyatnya dan tidak akan membenarkan sebarang unsur ekstremis mana-mana agama berlaku di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebagai ketua kerajaan, beliau memberi jaminan bahawa semua perkara tersebut akan terus dipelihara supaya keharmonian masyarakat, perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini terus terjaga.

“Kita berasa bertuah kerana agak terlindung daripada persengketaan agama dan kaum yang sering berlaku di tempat-tempat lain kerana kuasa autonomi imigresen kita mampu menyekat pelampau-pelampau agama untuk menjejakkan kaki di Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Namun, Sarawak tidak kalis sepenuhnya daripada unsur-unsur ekstremis yang datang melalui saluran siber seperti media-media sosial yang biasanya untuk kepentingan politik pihak tertentu.

“Justeru, benteng daripada anasir-anasir ini hanyalah kebijaksanaan kita sendiri untuk menapis apa yang baik daripada yang jahat dan yang fakta daripada yang auta,” katanya dalam Perutusan Krismas dan Tahun Baharu 2023, hari ini.

Menurutnya, Sarawak harus mengekalkan reputasinya yang terkenal dengan masyarakat berbilang kaum dan agama namun tidak menghadapi masalah untuk bersatu dalam kepelbagaian.

“Hanya di Sarawak kita mendapati keluarga orang Kristian dan orang Islam boleh hidup di bawah satu bumbung.

“Di negeri ini juga kita dapat melihat gereja dan masjid tidak menghadapi masalah dengan kedudukan bersebelahan dan saling bantu-membantu bagaikan sebuah keluarga,” ujarnya.

Suara Sarawak