KAWAL BOLA…Mohd Badrul Hisham Mohamad Hussien (kiri) mengawal bola ketika sesi latihan. (FOTO GHAZALI BUJANG)

KUCHING: Empat pemain import baharu Kuching City FC (KC FC) akan tiba pada 4 Januari ini bagi menyertai latihan bersama pemain KC FC yang lain.

Ketua jurulatih KC FC Irfan Bakti Abu Salim mendedahkan, kesemua empat pemain import baharu itu akan tiba di ibu negara (Kuala Lumpur) pada 2 Januari nanti.

“Mereka akan menjalani ujian pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum terbang ke Kuching dua hari selepas itu (4 Januari),” ujar Irfan kepada Arena Suara Sarawak.

Justeru, beliau berharap semoga proses pemeriksaan kesihatan membabitkan kesemua pemain import baharu itu berjalan lancar.

Sebagaimana dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kuching City FC, Iswandy Ali Hassan sebelum ini, empat pemain import baharu itu akan memperkuatkan jentera The City Boys bagi mengharungi kempen Liga Super 2023.

Barisan pemain import terbabit berasal dari negara Uzbekistan, Serbia, Burundi dan Timor Leste.

Sesi latihan skuad Kuching City telah bermula 19 Disember lalu dan disertai pemain yang masih dikekalkan dalam skuad berkenaan.

Suara Sarawak