SIMANGGANG: Dua kenderaan terbabas ke dalam parit selepas terlibat dalam kemalangan berhampiran simpang Sri Jaya, Jalan Sri Aman-Serian, pagi tadi.
Ketua Bomba dan Penyelamat Sri Aman William Baheng berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira 7.38 pagi itu melibatkan Perodua Axia bewarna merah dan Toyota Fortuner hitam.
“Ketika bantuan pasukan Bravo Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman sampai, kedua-dua kenderaan terbabas ke dalam parit dengan Axia dalam keadaan terbalik.

“Bagaimanapun, kedua-dua pemandu selamat dan berjaya dikeluarkan oleh orang awam,” katanya dihubungi, hari ini.
Bomba jelasnya selepas itu, menghantar kedua-dua pemandu ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut.
Difahamkan salah seorang daripadanya mengalami kecederaan pada bahagian kaki.

Sebelum pulang, William menambah pihaknya membuat pemeriksaan dan penilaian di tempat kejadian bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.
Operasi tamat 8.15 pagi.