Ahmad Ibrahim ketika ditemui wartawan selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Mewarna dan Kempen Penggunaan Sifat Plastik  2022 di SK Matang Jaya, hari ini.

KUCHING: Senator Cr Datuk Ahmad Ibrahim menyokong langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memotong gaji 20 peratus setiap bulan ke atas Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, pemotongan gaji tersebut adalah bersifat sementara sehinggalah ekonomi negara kembali stabil kelak.

“Kita tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku kerana seluruh dunia dijangka mengalami kelembapan ekonomi global pada tahun hadapan.

“Justeru, saya menyokong pemotongan gaji menteri kerana ‘ikat perut’ adalah jalan yang terbaik buat masa ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara menambah, setakat ini, tiada isu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengenai pengumuman Perdana Menteri itu.

“Ini (pemotongan gaji) merupakan tanda solidariti semua Ahli Parlimen GPS terhadap ‘boss’, Perdana Menteri yang sanggup untuk tidak menerima gaji dalam usaha memulihkan ekonomi negara,” tambahnya.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Mewarna dan Kempen Penggunaan Sifat Plastik  2022 di SK Matang Jaya, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Jemaah Menteri bersetuju menerima potongan gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan atas keprihatinan kepada rakyat.

Anwar berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat khas Kabinet 5 Disember lalu.

Suara Sarawak