KUCHING: Mengamuk dan mengeluarkan kata-kata ugutan bunuh berbunyi ‘aku pukul kau, mati kau kelak’ terhadap bapa kandung, penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Muhammad Nur Attirmidzi Ibrahim, 31, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Zaiton memerintahkan tertuduh dipenjara sembilan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Taman Matang Jaya, Jalan Matang, kira-kira jam 8 pagi, 30 November lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, ketika kejadian mangsa yang merupakan warga emas berusia 73 tahun sedang berada di ruang tamu, tiba-tiba dimarahi anak sambil meminta kunci motosikal.

Namun, mangsa enggan menyerahkan kunci tersebut memandangkan tertuduh tidak mempunyai lesen motosikal yang sah.

Berang ditanya bapanya, tertuduh bertindak mengeluarkan kata-kata ugutan hendak membunuh mangsa sambil membaling sebuah topi keledar ke arah mangsa namun sempat dielak.

Bimbang akan keselamatan diri, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari yang sama.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak