SIBU: Polis telah menahan seorang pemuda yang ditemui membawa dadah jenis Ketamin bernilai RM35,400 di Lorong Wong King Huo pada petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan hari ini berkata, sepasukan polis Narkotik dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah menahan suspek berusia 25 tahun itu pada jam 6.45 petang.

“Polis menahan suspek di dalam sebuah kereta jenis Toyota Camry dan hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai lima paket plastik lut sinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis Ketamin.

DADAH yang dirampas daripada suspek.

“Anggaran berat adalah 236 gram dengan nilai rampasan dadah semasa berjumlah RM35,400,” ujar beliau.

Zulkipli mendedahkan ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati suspek positif dadah jenis Ketamin dan Benzo.

Suspek yang merupakan penganggur, ujarnya lagi, seterusnya ditangkap dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952 dan telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Menurut Zulkipli lagi, hukuman bagi kesalahan Seksyen 39B ADB 1952 jika sabit kesalahan adalah mandatori gantung sampai mati, manakala bagi kesalahan 15(1)(a) ADB 1952 denda tidak melebihi RM5,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali serta pengawasan selama dua tahun dibawah Seksyen 38B ADB 1952.

Suara Sarawak