KUCHING: Seorang penjual kereta terpakai dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari, ini, selepas mengaku bersalah menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Tertuduh Wee Yaw Teck, 41, membuat pengakuan itu selepas satu pertuduhan di bawah Seksyen Akta Peniaga Sekenhend 1946 yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Gawing, Jalan Wan Alwi, di sini, kira-kira 10.50 pagi, 19 Oktober lalu.

Sabit kesalahan, boleh dihukum denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, sepasukan polis dari Cawangan Perlesenan IPK Sarawak telah pergi ke premis tersebut sekitar jam 10.50 pagi, 19 Oktober lepas kerana dipercayai menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Pengadu yang merupakan pegawai polis memperkenalkan diri kepada pemilik premis (tertuduh) seterusnya membuat pemeriksaan.

Semasa pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak memiliki lesen yang sah di bawah Seksyen 6 Akta Peniaga Sekenhend 1946.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menjalankan kegiatan menjual kereta terpakai tanpa lesen perniagaan yang sah dan gagal mengemukakan sebarang dokumen yang diminta semasa pemeriksaan dijalankan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak