SRI AMAN: Seorang penunggang motosikal maut setelah terbabit kemalangan dengan sebuah kereta MPV di KM63 di Jalan Sri Aman-Kuching, berhampiran Pekan Sg Tenggang di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sri Aman Asisten Superintendan Mass Nur Haslinda Abdullah berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 8 pagi.

Katanya, kejadian berlaku apabila pemandu MPV yang keluar dari simpang Sg Tenggang menuju ke jalan utama dan berlaku pelanggaran dengan mangsa yang bergerak lurus dari arah Kuching menuju ke Sri Aman.

“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan dan telah di bawa ke Hospital Sri Aman.

“Semasa menerima rawatan, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di Hospital Sri Aman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu MPV tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, jika ada saksi melihat kejadian sila menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman di talian 083-322121 sambung 267.

Suara Sarawak