IMBAS KEMBALI…Antara barisan pelumba terlibat.

KUCHING: Peranan semua pihak terutamanya persatuan sukan bermotor, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta amat dituntut bagi membantu usaha kerajaan memajukan industri sukan permotoran di negeri ini.

Seterusnya, menjayakan agenda untuk menjadikan Malaysia sebagai kuasa sukan permotoran pada masa akan datang.

Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sarawak (JBSNS) Lamat Nyalau memberitahu, sejajar dengan usaha menganjurkan Perlumbaan Motorcross KBS, MyFit@Motorsports Peringkat Zon 2022, Sarawak baru-baru ini.

Menurut Lamat, usaha dilakukan Persatuan Sukan Permotoran Sarawak (SMA) dengan kerjasama Jabatan Belia & Sukan Negeri Sarawak dan Region 1 Motocross Club dilihat sebagai landasan terbaik dalam merealisasi misi ke arah itu.

“Saya percaya ada pelumba berbakat serta berpotensi dapat diketengahkan ke perlumbaan kompetitif pada masa akan datang,” ujar beliau ketika berucap pada majlis penutupan perlumbaan tersebut.

Menurut Lamat, melalui penganjuran perlumbaan tersebut secara tidak langsung dapat meningkatkan hubungan silaturahim antara semua pihak mencakupi pelbagai kaum.

Sambil itu, pihaknya percaya perlumbaan tersebut akan terus mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan lasak mengambil kira statusnya yang akan dianjurkan setiap tahun.

Perlumbaan yang berlangsung di Litar Motocross Serikin, Bau menyaksikan pembabitan seramai 70 orang pelumba dengan lapan kategori yang dipertandingkan.

Suara Sarawak