Gambar hiasan

TAHUKAH anda, penyakit jantung mengakibatkan lebih banyak kematian dalam kalangan rakyat Malaysia berbanding kemalangan jalan raya? Salah satu punca utama kematian rakyat negara ini.

Menurut perangkaan negara, 17 peratus kematian di Malaysia berpunca daripada penyakit jantung iskemik atau arteri koronari, iaitu penyakit jantung yang paling biasa berpunca daripada kesempitan dalam pengumpulan arteri dan seterusnya mendatangkan masalah kekurangan bekalan darah ke jantung.

Siapa berisiko mendapat penyakit jantung? Di Malaysia, bilangan kes di Institut Jantung Negara meningkat lima peratus setiap tahun. Terdapat 10,000 kes kardiologi dan hipertensi dan 4,000 kes pembedahan jantung dalam setahun.

Menurut Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman Hospital Pakar Regency, Dr Ang Kai Ping, apabila pengumpulan yang dikaitkan dengan deposit kolesterol menyempitkan saluran jantung dan menyekat aliran darah, ia akan menyebabkan sesak nafas, sakit dada atau serangan jantung.

Daftar di https://stssapp.com/

Namun katanya, kebanyakan individu tidak menyedari mereka mengalami masalah ini sehingga berdepan dengan gejala berkenaan. Serangan jantung boleh merosakkan otot jantung yang mengakibatkan kematian otot terutamanya jika tidak dirawat dan seterusnya membawa kepada kegagalan jantung pesakit.

Jelasnya, sesiapa sahaja boleh menghidap penyakit jantung, namun, terdapat beberapa faktor risiko boleh meningkatkan risiko penyakit jantung berlaku. Ini termasuk keadaan kesihatan sedia ada seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, kencing manis, obesiti, gaya hidup seperti kurang bersenam, tekanan, diet tidak sihat dan merokok.

Antara faktor risiko yang menyumbang kepada penyakit jantung termasuk gaya hidup dan penyakit warisan keluarga (genetik).

Merokok, salah satu faktor risiko penyakit jantung paling membimbangkan dan ketara, berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Merokok menentukan 10 peratus daripada semua penyakit kardiovaskular.

Namun, sejumlah besar risiko berasaskan gaya hidup itu boleh diurus jika beberapa perubahan dilakukan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Dalam pada itu, kajian terbaharu menunjukkan peningkatan kelaziman rakyat Malaysia yang didiagnosis dengan penyakit jantung pada usia yang lebih muda berbanding sebelum ini.

Kajian baru-baru ini mengenai semakan penyakit arteri koronari di Malaysia menunjukkan bahawa rakyat negara ini menghidap Sindrom Kardiovaskular Akut antara 55.9 dan 59.1 tahun berbanding individu dari negara maju yang didiagnosis antara 63.4 dan 68 tahun.

Malah, apabila seseorang pesakit mengalami serangan jantung pertama, pesakit berkenaan mempunyai risiko lebih tinggi untuk serangan jantung yang lain atau strok tanpa mengira usia.

Justeru, penyakit ini boleh dibendung dari awal sekiranya pendidikan yang betul diadakan. Bahkan, menjadi keperluan untuk mendidik orang ramai tentang cara mencegah penyakit jantung dengan membawa perubahan tabiat pemakanan dan gaya hidup kini menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

Antara yang boleh diamalkan termasuk lebih banyak aktiviti fizikal serta mengamalkan gaya diet sihat termasuk mengurangkan pengambilan sodium dan lemak yang boleh membantu mengurangkan risiko kardiovaskular.

Pengamalan diet secara sederhana merangkumi lebih banyak sayuran dan jumlah daging yang sederhana serta kurang minyak dan garam adalah penting.

Dalam pada itu, Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Produk Merokok 2022 diperkenalkan untuk melarang merokok dalam kalangan generasi muda yang lahir pada dan selepas 1 Januaru 2007, mungkin dapat memainkan peranan penting dalam membantu mengurangkan faktor risiko ini dalam masa terdekat.

Titik permulaan yang baik untuk membantu mencegah risiko penyakit jantung adalah dengan mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Ini membolehkan doktor mengesan dan memantau faktor risiko dari awal.

Suara Sarawak