Pengerusi SUHA Ruzaiman Ghazalee (dua kanan) bergambar selepas mengadakan sidang media, di sini hari ini.

KUCHING: Lebih 600 bakal jemaah umrah Sarawak di bawah Pertubuhan Agensi Umrah dan Haji Sarawak (SUHA), terpaksa menangguh perjalanan ke Tanah Suci bulan ini berikutan jumlah tiket penerbangan ke Arab Saudi ketika ini menyusut dengan ketara.

Menurut Pengerusi SUHA Ruzaiman Ghazalee, Malaysia kini sedang mengalami peningkatan jumlah jemaah umrah yang mendadak serta masih menunggu penerbangan daripada syarikat-syarikat penerbangan sedia ada.

Di Sarawak katanya, agensi-agensi pengendali umrah di bawah SUHA menerima tempias, melibatkan lebih 600 jemaah yang telah berdaftar dan membayar sepenuhya pakej umrah pada bulan Disember 2022.

“Jumlah ini adalah sebahagian daripada lebih 30,000 jemaah umrah di seluruh Malaysia yang juga tertangguh untuk bulan Disember 2022.

“Mereka ini masih menunggu pengesahan penerbangan daripada syarikat penerbangan seperti Saudi Airlines, Malaysia Airlines dan beberapa penerbangan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berkenaan dengan penyusunan semula jadual penerbangan Jemaah Umrah di Sarawak, bertempat di Kelab Golf Sarawak, hari ini.

Tambah beliau, selain dari isu penerbangan, industri umrah tempatan turut menghadapi cabaran kekurangan bilik penginapan di Mekah dan Madinah.

Katanya, perkara in dijangka berlanjutan sehingga bulan Ramadan 1444 Hijrah, bersamaan bulan Mac 2023.

Bagaimanapun katanya, Suha telah berusaha untuk mengatur penerbangan untuk bulan Disember ini termasuklah mengadakan penerbangan sewa khas sendiri dan masih menunggu pengesahan daripada pihak yang berkenaan.

“Antara usaha lain yang telah diaturkan oleh SUHA termasuk menggunakan penerbangan yang akan dimulakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak melalui ‘Program Kuching Umrah Gateway’ (KUG) yang membawa Jemaah berangkat terus dari Kuching ke Jeddah yang dijangka bermula seawal bulan Januari 2023.

“Pada masa ini juga, pihak kami masih berhubung dengan pihak Sarawak Tourism Board(STB) untuk mendapat pengesahan jadual penerbangan tersebut,” ujarnya lanjut.

Sehubungan itu, Ruzaiman menyeru kepada para jemaah umrah untuk bersabar dalam menghadapi situasi tersebut dan pihak Suha akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini dari masa ke semasa melalui agensi umrah masing-masing.

Untuk rekod, agensi-agensi di bawah SUHA yang terlibat adalah seperti Safar AlGhazali Travel & Tours Sdn Bhd; Az Safir Travel & Tours; Demak Travel Sdn Bhd; Inter-Continental Travel Centre Sdn Bhd; Wan Zakaria Travel & Tours Sdn Bhd; Astana Travel & Tours Sdn Bhd dan Zunaz Travel Sdn Bhd.

Suara Sarawak