Perkhidmatan bas Kuching-Singkawang mula tahun depan

LUNDU: Perkhidmatan bas rentas sempadan bagi laluan Kuching, Sarawak dan Singkawang, Indonesia dijangka bakal beroperasi pada tahun depan.

Menteri Pengangkutan Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, perkhidmatan bas melalui Imigresen, Kastam, Kuaratin dan Keselamatan (ICQS) Biawak-Aruk (Indonesia) itu akan bermula dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Seterusnya, kita akan mengadakan perbincangan dengan pihak Indonesia mengenai jumlah perjalanan bas dalam sehari termasuk menyelesaikan beberapa proses lain seperti permohonan permit.

Datuk Sri Lee Kim Shin pada sidang media selepas lawatan kerja rasmi ke ICQS Biawak di Lundu, hari ini.

“Pihak kita juga sedang berusaha untuk mempercepatkan semua proses tersebut bagi memastikan perkhidmatan laluan itu akan beroperasi pada tahun hadapan.

“Bagaimanapun tempoh sebenar perkhidmatan itu akan bermula belum dapat diputuskan kerana ini turut melibatkan Kerajaan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja rasmi ke ICQS Biawak bagi meninjau persiapan di Pejabat Daerah Lundu, hari ini.

Menurutnya, cadangan permulaan daripada persatuan bas tempatan adalah untuk melaksanakan lima perjalanan keluar masuk setiap hari bagi kedua-dua negara berkenaan.

Mengenai lawatan tersebut, Lee berkata ia bagi memastikan persiapan untuk perkhidmatan laluan tersebut berjalan lancar dan teratur apabila dibuka kelak, sama seperti laluan Kuching-Pontianak yang sudah beroperasi beberapa bulan lalu.

Untuk rekod, tempoh perjalanan darat dari bandar raya Kuching ke ICQS Biawak mengambil masa sekitar dua jam, manakala dari sempadan tersebut untuk ke Singkawang kira-kira tiga jam, seterusnya tiga jam lagi untuk sampai ke Pontianak, Indonesia.

Laluan tersebut juga membolehkan orang ramai pergi ke tiga bandar raya di Indonesia iaitu termasuk Singkawang, Pontianak dan Sambas, berbanding melalui ICQS Tebedu yang hanya melalui Pontianak dan Sangau.

Suara Sarawak