Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain(tiga kanan) menunjukkan cadangan pembinaan ART pada Majlis Pelancaran Projek KUTS – Fasa 1 di tapak cadangan Depo ART di Kota Samarahan, hari ini .

KOTA SAMARAHAN: Penanda aras baharu bagi sistem pengangkutan awam Sarawak apabila Fasa Satu Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dilancarkan secara rasmi, semalam.

Ia sekali gus menandakan permulaan kerja-kerja lanjutan untuk depot Transit Aliran Automasi (ART) yang terletak di Kota Samarahan dengan Sarawak Metro, anak syarikat milik sepenuhnya Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakannya.

Projek yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat negeri ini itu telah dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bertempat di tapak cadangan untuk depot Rembus, Laluan Biru yang merupakan satu daripada tiga laluan bakal dibina di bawah fasa satu projek KUTS.

Menurut Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, projek tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan fasa satu – untuk pembangunan Laluan Biru, Laluan Merah dan Laluan Hijau.

“Pelancaran hari ini bertepatan dengan permulaan kerja-kerja lanjutan untuk depot ART yang terletak di Kota Samarahan atau yang kita rujuk sebagai Depot Rembus.

“Depot Rembus yang dibina di atas tapak seluas 80 ekar, ini juga akan menjadi depot untuk bas hidrogen projek KUTS serta kilang pengeluaran hidrogen SEDC Energy Sdn Bhd.

“Kemudahan lain yang terdapat di depot ini termasuk untuk mengisi bahan api hidrogen, landasan ujian, loji cuci automatik, bengkel mekanikal dan infrastruktur serta bangunan pentadbiran,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran, semalam.

Tambahnya, Depot Rembus itu dijadualkan mula beroperasi pada suku keempat 2025, serentak dengan pembukaan fasa satu perkhidmatan penumpang ART untuk Laluan Biru.

“Sementara itu, perkhidmatan penumpang ART dijadualkan akan diperkenalkan secara berperingkat, bermula dari suku keempat 2025,” ujarnya.

Fasa Satu-Laluan Biru akan bermula dari Rembus di sini ke Hikmah Exchange di pusat bandar Kuching meliputi jarak sejauh 27.6 kilometer (km).

Manakala Laluan Merah dari Kuching Sentral ke Pending meliputi jarak sejauh 12.3km dan Laluan Hijau adalah dari Pending ke Damai Central di Santubong meliputi jarak 30km.

Setakat ini katanya, Sarawak Metro sudah menganugerahkan kontrak bagi Sistem Pakej 1 dan Sistem Pakej 2 bagi Projek KUTS masing-masing pada Julai dan November.

Suara Sarawak