KUCHING: Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) masih belum dapat membuat sebarang keputusan untuk kembali ke pangkuan badan induk, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) atau sebaliknya.

Ia berikutan pembubaran badan induk yang baharu disertai, Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF) beberapa hari lepas sekali gus, memperlihatkan kedudukan PSS ketika ini bagaikan bergantung tanpa bertali.

Presiden PSS, Datuk Ismail Abang Saufi menegaskan  pihaknya menerima keputusan pembubaran MASTAF beberapa hari lepas.

PRESIDEN PSS…Datuk Ismail Abang Saufi.

“Bagaimanapun, belum ada sebarang keputusan dibuat pihaknya berhubung kedudukan serta hala tuju PSS setakat ini.

“Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PSS (AMT PSS) telah berlangsung semalam yang membincangkan beberapa perkara.Namun, belum ada keputusan dibuat setakat ini,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Jelas beliau, pihaknya menunggu pengumuman rasmi daripada ASTAF dan ISTAF berhubung penyertaan kembali PSM sebagai ahli gabungan badan induk tertinggi.

“Dua hari lepas semua mengetahui PSM akan diterima kembali sebagai ahli gabungan ASTAF dan ISTAF…namun belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan,” tambah Datuk Ismail.

Dalam masa yang sama beliau juga mengakui, secara peribadi beliau bersama barisan exco sedia ada tiada masalah untuk kembali ke pangkuan PSM.

Keputusan berbuat demikian demi kebajikan serta untuk pembangunan sukan sepak takraw di Negeri Sarawak.

“Adalah penting kita (PSS) bernaung dibawah bumbung badan induk yang diiktiraf serta merupakan ahli gabungan ASTAF dan ISTAF,” katanya lagi.

Suara Sarawak