NAIB PRESIDEN FAS…Phillip Jabu.

KUCHING: Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Phillip Jabu menghormati keputusan Presidennya Datuk Posa Majais yang berhasrat untuk melepaskan jawatan seandainya ada individu berkemampuan mengemudi FAS.

Menurut Phillip, tiada kuasa mutlak bagi dirinya mempersoalkan keputusan tersebut meskipun mengambil kira kedudukannya sebagai salah seorang exco dalam badan induk berkenaan.

“Jika beliau berhasrat untuk berundur atau melepaskan jawatan tersebut, kita tidak boleh buat apa-apa. Sebagai seorang yang profesional, saya menghormati keputusan yang dibuat.

“Mungkin beliau lebih mengetahui keputusan yang dibuat itu,” ujar Phillip kepada Arena Suara Sarawak.

Phillip yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (SFA) mengakui, setakat ini belum ada gambaran jelas berhubung perkara itu.

Meskipun, Posa sebelum ini ada mengeluarkan kenyataan media untuk mengalu-alu individu berminat menggalas jawatan nombor satu dalam FAS.

Bagaimanapun, individu berkenaan perlu berbincang lanjut dengan pihak pengurusan berhubung perkara itu.

Suara Sarawak