KUCHING: Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) bertekad untuk terus berusaha memajukan sukan Muaythai bagi mengekalkan penguasaan atlet Sarawak di pentas saingan dalam negara mahupun antarabangsa.

Sejajar dengan itu, Presiden PMNS Jumaat Ibrahim menuntut komitmen serta sokongan dan dorongan daripada semua pihak termasuk kerajaan negeri mahupun badan bukan kerajaan (NGO) bagi membolehkan mereka meneruskan program pembangunan.

Justeru, penganjuran Kejohanan Muaythai Piala TYT 2022 menjadi platform terbaik untuk memberi pendedahan kepada para atlet negeri.

SAINGAN BERAKHIR… Jumaat Ibrahim (berdiri dua kanan) dan tetamu lain bergambar bersama-sama para pemenang.

Ia juga sebagai persediaan mereka bertanding di kejohanan yang lebih besar seperti Kejohanan Persekutuan Persatuan Muaythai Antarabangsa atau IFMA.

“Penganjuran Kejohanan Muaythai Piala TYT 2022 dapat kembali kita anjurkan selepas tertangguh tiga tahun akibat penularan pandemik Covid-19.

“Tujuan kita sudah semestinya untuk mencungkil bakat-bakat baharu dan mengangkat martabat Sarawak dalam sukan Muaythai,” ujar beliau kepada media pada Majlis Penutupan Kejohanan Muaythai Piala TYT di Tebingan Kuching, malam tadi.

SENGIT…. Antara aksi hebat membabitkan peserta pilihan.

Menurut Jumaat, pihak PMNS akan sentiasa berusaha memajukan sukan ini. Namun, sokongan daripada kerajaan negeri amat diperlukan bagi menjayakan program pembangunan yang bakal dilaksanakan itu.

Jumaat menyatakan komitmen pihaknya untuk memastikan penganjuran kejohanan itu berterusan setiap tahun jika terus mendapat sokongan daripada kerajaan.

Selain penting bagi melahirkan atlet-atlet baharu Muaythai, penganjuran kejohanan juga berperanan dalam menggalakkan sektor pelancongan negeri dengan kehadiran peserta-peserta dari Semenanjung Malaysia malah dari luar negara ke Sarawak.

Suara Sarawak