SIBU: Polis menahan dua individu dan merampas dadah bernilai RM171,270 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Keranji di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataannya hari ini berkata, operasi pada jam lebih kurang 5.30 petang itu dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.

“Anggota polis telah menahan seorang lelaki tempatan dan seorang perempuan tempatan masing-masing berumur 28 dan 53 tahun.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai 99 paket plastik bertulisan ‘Juice Master’ disyaki berisi dadah jenis Ecstacy anggaran berat 3,420 gram dan 18 biji pil warna merah jambu disyaki pil Ecstacy dengan anggaran berat kasarnya 5.90 gram,” katanya.

Zulkipli memberitahu, rampasan dadah jenis Ecstacy itu mengikut anggaran pasaran adalah bernilai RM171,000 manakala pil Ecstacy itu bernilai RM270 menjadikan nilai keseluruhan rampasan adalah RM171,270.

Sementara itu, beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati suspek yang berusia 28 tahun positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine manakala suspek yang berusia 53 tahun negatif dadah.

“Kedua-dua suspek seterusnya ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) ADB 1952.

“Suspek lelaki telah direman selama tujuh hari bermula hari ini manakala suspek wanita direman tiga hari bagi membantu siasatan,” jelas beliau.

Zulkipli mengatakan hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 jika disabitkan kesalahan mandatori gantung sampai mati manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali dan pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952.

Suara Sarawak