Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee Foto Ukas

KUCHING: Enam timbalan menteri yang dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen Sarawak dalam Kerajaan Perpaduan masing-masing berperanan penting untuk meneruskan agenda menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.

Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, portfolio yang ditawarkan kepada wakil Sarawak sememangnya mempunyai kesan langsung terhadap agenda tersebut.

“Pertama, pelantikan Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib sebagai Timbalan Menteri Ekonomi boleh memberi kelebihan kepada Sarawak untuk membangunkan ekonomi negeri.

“Sasaran pertumbuhan sebanyak 4 hingga 8 peratus ini juga akan disokong oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang) dalam usaha meningkatkan pendapatan isi rumah penduduk desa dan kampung.

“Diikuti portfolio Timbalan Menteri Pengangkutan yang dipegang Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, juga penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi melalui keterhubungan jalan untuk aktiviti pemasaran hasil pertanian dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Beliau menambah, jawatan dipikul Ahli Parlimen Sarikei Datuk Seri Huang Tiong Sii iaitu Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim juga penting dalam menguruskan eksploitasi sumber asli dengan mengambil kira kesan terhadap alam semula jadi dan iklim.

Tidak kurang pentingnya, portfolio sebagai Timbalan Menteri Kesihatan yang digalas Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni untuk memastikan rakyat Sarawak dalam keadaan sihat dan makmur.

Begitu juga dengan peranan Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pasti memainkan peranan penting.

Untuk itu katanya, tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan ini mesti digunakan dengan baik untuk membawa kemakmuran rakyat secara keseluruhan, khususnya di Sarawak.

Suara Sarawak