AKAN BERUNDUR…Datuk Posa Majais.

KUCHING: Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais bakal melepaskan jawatannya dan akan mengumumkan pengunduran daripada kerusi panas itu pada Kongres Exco FAS yang dijadual pada bulan Januari 2023.

Sekali gus, bakal menjawab segala persoalan yang menjadi perdebatan hangat dalam kalangan peminat sukan nombor satu berkenaan sejak akhir-akhir ini.

“Saya akan mengundur diri serta melepaskan jawatan selaku Presiden FAS. Saya akan mengumumkan secara rasmi perkara pada Kongres Exco FAS itu kelak,” ujar Posa kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Posa, keputusan berbuat demikian sudah dimaklum kepada barisan exco badan induk berkenaan serta semua ahli gabungan FAS seluruh bahagian.

Tegas Posa, terserah kepada cadangan ahli-ahli gabungan berhubung individu yang akan dicalonkan untuk menggantikan beliau bagi memimpin FAS selepas ini.

“Difahamkan terdapat beberapa individu berminat untuk menerajui badan induk berkenaan. Akan tetapi, segalanya bergantung kepada sokongan diterima daripada semua ahli gabungan.

“Mengikut perlembagaan dalam FAS, hanya nama calon yang dicadang oleh ahli gabungan layak dipertimbangkan untuk bertanding bagi merebut jawatan penting dalam badan induk itu.

“Bagaimanapun, ia juga bergantung sama ada individu yang dicalonkan itu mendapat sokongan ahli gabungan sedia ada atau tidak,” tambah Posa lagi.

Dalam pada itu, Posa turut menyatakan, pemilihan untuk lima jawatan penting (Exco FAS) turut berlangsung sama pada kongres itu nanti.

Untuk rekod, Posa menerajui FAS bermula dari tahun 2017.

Suara Sarawak