KUCHING: Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Kunjungan julung kali ini dilakukan sejak Tiong mengangkat sumpah sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya di dalam kabinet Kerajaan Perpaduan pada 3 Disember lepas.

Kata Tiong, pertemuan ini bagi membincangkan kepentingan dan prospek dalam membangunkan pelancongan Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi.

Datuk Seri Tiong King Sing ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

“Hasil pertemuan ini, Kementerian kita akan diberi tugas dan tanggungjawab dalam mempromosikan adat resam di Sarawak yang indah dan unik ini.

“Kita juga sedia untuk mengangkat produk tempatan di sini seperti lada, rotan, dan tekstil ke peringkat global,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Selain itu kata Tiong, Kementeriannya juga akan mengkaji untuk mewujudkan lebih banyak platform dalam memaparkan bakat dan kreativiti rakyat Sarawak, tidak kira latar belakang, budaya, etnik dan dari mana masyarakat ini berasal.

“Sarawak mempunyai kekayaan budaya dan bakat seni yang sedia untuk dipupuk dan dipromosikan kepada dunia.

“Justeru, kita perlu mengadakan lebih banyak perbincangan dan pertukaran mengenai bakat ini untuk membawa mereka ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Kerajaan Perpaduan menyaksikan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sekali gus memegang portfolio di Kementerian Perladangan dan Komoditi dan Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi juga dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.

Manakala Datuk Seri Nancy Shukri menjawat jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Menteri Pelancongan; dan Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang sebagai Menteri Perpaduan Negara.

Suara Sarawak