Gambar hiasan

KUCHING: Nilai eksport produk perkayuan Sarawak menokok sepanjang suku ketiga tahun ini kepada RM3.05 bilion dengan Jepun sebagai pengimport utama.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, prestasi industri perkayuan Sarawak bagi tempoh tersebut menunjukkan peningkatan nilai eksport sebanyak 4.5 peratus.

“Nilai eksport yang direkodkan ialah RM3.05 bilion, berbanding hanya RM2.92 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Jepun kekal sebagai pengimport utama bagi produk perkayuan negeri ini yang menyumbang sebanyak RM1.88 bilion atau 62 peratus daripada keseluruhan nilai eksport bagi tempoh suku ketiga tahun 2022,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dun Sarawak ke-19 di sini, hari ini.

Jelasnya, pasaran utama lain ialah India sebanyak RM357 juta, negara-negara Timur Tengah sebanyak RM134 juta, China sebanyak RM131 juta dan Taiwan sebanyak RM117 juta.

Katanya lagi, produk papan lapis menunjukkan peningkatan nilai eksport iaitu sebanyak 2.5 peratus kepada RM1.67 bilion berbanding RM1.63 bilion tempoh sama tahun lalu.

“Justeru, kerajaan terus komited untuk meningkatkan nilai eksport dengan menggalakkan lebih banyak pengeluaran produk nilai tambah yang tinggi seperti perabot dan produk kejuruteraan kayu serta menggiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan.

“Diharapkan kadar peningkatan ini dapat dikekalkan sehingga penghujung tahun ini dan masa hadapan bagi memastikan industri
perkayuan terus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Sarawak,” ujarnya.

Suara Sarawak