TAKLIMAT… Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Sdn Bhd Ir Mazli Mustaffa (dua kiri) memberi taklimat tentang laluan ART kepada Abang Johari semasa pelancaran projek Fasa 1 di tapak projek di Depo Rembus di sini, hari ini. Photo Japen

KOTA SAMARAHAN: Pelancaran Fasa Satu Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) Transit Aliran Automasi (ART) hari ini adalah langkah pertama mentransformasikan pengangkutan awam di Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha tersebut merupakan inisiatif kerajaan untuk memberi perkhidmatan pengangkutan yang canggih, efisien dan mesra pengguna.

Katanya, pembinaan projek melibatkan perbelanjaan RM6 bilion tersebut akan memberikan perjalanan yang lebih sistematik kepada pengguna selain melestarikan alam sekitar.

“Perbelanjaan tersebut meliputi bahagian Kuching, Samarahan dan Serian dan dijangka akan disiapkan dalam tempoh enam hingga tujuh tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek KUTS – Fasa 1 di tapak cadangan Depo ART di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Abang Johari berkata, pembinaan ART tersebut secara tidak langsung dapat menambah taraf hidup rakyat serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk.

“Apabila kita mencipta pekerjaan standard yang tinggi, gaji dan pendapatan akan menjadi tinggi. Manakala dengan adanya pengangkutan awam yang cekap, ia turut menarik kedatangan pelancong dan bukan sahaja penduduk tempatan.

“Ini adalah cara baharu dan hari ini kami melancarkan fasa pertama projek KUTS – meliputi garis Biru, Hijau dan Merah, sekali gus merupaakn pengangkutan awam pertama di rantau Asia menggunakan tenaga hijau hidrogen,” ujarnya.

Abang Johari juga berkata, projek KUTS fasa kedua akan menyaksikan sistem ART bermula dari Serian ke Gedong.

“Selain itu, kerajaan juga sedang merancang untuk memperluaskan sistem ART ke kawasan Samalaju dan Kidurong di Bintulu yang akan dapat menampung mereka yang bekerja dalam pelbagai industri di kawasan itu,” jelasnya.

Fasa pertama itu melibatkan Laluan Biru dari Depo Rembus, Kota Samarahan ke Hikmah Exchange Kuching, meliputi jarak sejauh 27.6km; Laluan Merah dari Kuching Sentral ke Pending, meliputi jarak 12.3km; dan Laluan Hijau dari Pending ke Damai Central, Santubong, meliputi jarak 30km.

Perkhidmatan penumpang untuk ART dijadualkan akan diperkenalkan secara berperingkat bermula dari suku keempat atau 2025.

TAKLIMAT… Abang Johari mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Sdn. Bhd., Ir. Mazli Mustaffa sambil disaksikan oleh Datuk Rubiah Wang (kiri), Datouk Sri Lee Kim Shin, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz dan Datuk Sri Dr Sim Kui Hian (kanan). Photo Japen

Suara Sarawak