Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan FOTO: Ramidi Subari

KUCHING: Agenda meningkatkan kesejahteraan dan sosioekonomi rakyat melalui Projek Pembaharuan Bandar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 akan diteruskan.

Ia akan diteruskan oleh Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dengan siling peruntukan berjumlah RM510.5 juta.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar merangkap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia selari untuk meneruskan objektif kerajaan dalam meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat.

“Menerusi inisiatif tersebut, rakyat disediakan dengan rumah mampu milik yang selesa dan teratur untuk didiami.

“Pada masa sama, penempatan terancang yang dilengkapi dengan infrastruktur asas, utiliti, kemudahan rekreasi, tempat ibadah dan premis perniagaan untuk pembangunan sosioekonomi penduduk setempat turut disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, pembangunan bandar dan pekan baharu serta pusat perkhidmatan di kawasan luar bandar turut diberi perhatian khusus.

Katanya, ini bagi memastikan jurang ekonomi antara kawasan bandar dengan luar bandar dapat dirapatkan, serta membolehkan rakyat menikmati hasil pembangunan secara saksama.

Suara Sarawak