Dr Sim meninjau Projek Rejuvenasi Kuari Ang Cheng Ho Fasa 1.

 

Sentuhan akhir yang dijalankan di bangunan utama melibatkan dewan serbaguna di projek rejuvenasi Fasa Pertama Kuari Ang Cheng Ho.

KUCHING: Pembinaan bangunan utama menghadap tasik semula jadi seluas 20 ekar di bawah fasa pertama Projek Rejuvenasi Kuari Ang Cheng Ho di Batu Kawah di sini hampir siap.

Diikuti perancangan pembinaan kemudahan sekitar termasuk tempat letak kereta kini sedang dijalankan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian melahirkan rasa puas hati dengan kemajuan dan kerja-kerja pembinaan projek itu.

“Ia bukan sahaja akan mengubah dan memberi nafas baharu kepada Kuari Ang Cheng Ho yang terbengkalai, tetapi menambah satu lagi mercu tanda yang menakjubkan di Batu Kawah dan Bandaraya Kuching,” katanya.

Beliau menambah projek ubah suai bernilai RM9.8 juta untuk Fasa 1 itu akan menampilkan dewan serbaguna seluas 19,375 kaki persegi yang boleh memuatkan 1,000 orang untuk pelbagai jenis acara, gelanggang bola keranjang dan ruang seluas 3,000 kaki persegi untuk dijadikan hab inovasi bagi usahawan muda dan memperkasakan syarikat pemula niaga dan perusahaan sosial.

Manakala menurutnya, pelan pembangunan masa depan akan merangkumi kemudahan untuk sukan air dan sukan lasak, taman hijau awam dan kemudahan rekreasi.

“Pada 11 Julai 2020, Majlis Perbandaran Padawan telah membuat proses tender yang dianugerahkan kepada kontraktor Tenaga Sri Wangsa Sdn Bhd bagi fasa pertama dengan kerja-kerja tanah bermula pada 16 November 2020.

“Fasilitasi baharu di tapak seluas empat ekar yang sebahagiannya terletak di atas tasik itu dijangka siap dalam tempoh 15 bulan,” ujarnya.

Suara Sarawak