FOTO: Portal Rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak

BINTULU: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi ke atas punca kematian bayi di Perhentian Bas Jelukong, Sri Aman yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pengarah JKNS Dr Ooi Choo Huck berkata, punca kematian bayi berumur tiga bulan masih dalam siasatan dan belum dapat ditentukan.

Sehubungan itu katanya, jabatan memohon agar ibu bapa bayi berkenaan menghubungi pihak kesihatan secepat mungkin bagi membantu siasatan.

“JKNS sedang dalam usaha menghubungi ibu bapa bayi berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kes ini.

“Kita juga memohon agar ibu bapa bayi berkenaan boleh menghubungi pihak kesihatan secepat mungkin bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dr Ooi berkata berdasarkan siasatan, bayi berumur tiga bulan itu meninggal dunia di dalam bas semasa dalam perjalanan bersama-sama ibunya dari Kuching ke Sarikei pada 4 Disember lalu.

Katanya ibu kepada bayi menyedari bahawa bayi tidak bernafas semasa mereka berhenti di perhentian bas tersebut.

“Bayi telah dibawa segera ke Hospital Betong dan disahkan meninggal dunia apabila sampai ke hospital tersebut,” jelasnya ringkas.

Dalam pada itu, beliau menegaskan supaya orang ramai menghormati keluarga mendiang dengan tidak membuat sebarang spekulasi ke atas punca kematian sebelum siasatan selesai dijalankan.

Suara Sarawak