KUCHING: Minda dan tabiat harian masyarakat dalam pengurusan sisa pepejal perlu diubah demi mencapai kesejahteraan alam sekitar, sekali gus mencapai kadar kitar semula yang lebih tinggi.

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang berkata, amalan mengitar semula dan menjaga kebersihan terutamanya kawasan kediaman mesti bermula dari akar umbi.

“Ia perlu dilakukan bermula dari diri sendiri sebagai orang dewasa, pada masa sama dapat mendidik dan memupuk anak-anak untuk melakukan perkara yang sama di rumah mahupun di sekolah.

Lo ketika berucap dalam majlis Penyampaian Hadiah Program Kempen Penggunaan Plastik Sifar di SJK Chung Hua Pangkalan Baru.

“Justeru, Program Kempen Penggunaan Plastik Sifar dijalankan selaras dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang amat dititikberatkan oleh MPP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penyampaian Hadiah Program Kempen Penggunaan Plastik Sifar di SJK Chung Hua Pangkalan Baru, di sini, hari ini.

Tambah Lo, wujudnya program sedemikian dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan komuniti sekolah tentang kesan pembuangan sisa plastik terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.

KENANGAN… Lo bersama-sama para pelajar yang memenangi pertandingan mewarna sempena Program Kempen Penggunaan Plastik Sifar.

Katanya, ia dapat membantu dalam usaha membasmi dan mengawal pembuangan sisa plastik secara haram di tepi jalan dan kawasan pembuangan haram yang boleh menyebabkan timbul persepsi buruk, sekali gus menggalakkan budaya kitar semula dalam kalangan pelajar dan komuniti sekolah.

“Amalan kitar semula ini harus dilakukan bukan semata-mata untuk mengaut keuntungan, tetapi mesti didorong dengan keinginan untuk menjaga serta memelihara alam sekitar dan sumber semula jadi,”

Hadir sama, Timbalan Pengerusi MPP Datuk Ahmad Ibrahim.

Suara Sarawak