KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan meneruskan usaha memupuk budaya tandas bersih dalam kalangan masyarakat dengan memperluaskan pertandingan tandas bersih pada masa akan datang.

Pengerusinya, Lo Khere Chiang yakin galakan sedemikian mampu menjadi dorongan untuk mengekalkan budaya bersih dalam kalangan masyarakat serta komuniti terutama kebersihan tandas awam.

Ia sekali gus mampu membawa perubahan besar kepada keadaan tandas awam untuk menjadi lebih baik dan secara tidak langsung, menekankan usaha murni untuk masyarakat membudayakan amalan persekitaran yang bersih.

MENANG…Lo Khere Chiang (tengah) merakam gambar kenangan bersama-sama para pemenang pertandingan tandas bersih 2022 dan pertandingan melukis 2022 di Bilik Latihan MPP.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penganjuran pertandingan Tandas Awam Bersih 2022 dan Pertandingan Melukis Poster Tahun 2022, sekali gus merasmikan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang di Bilik Latihan MPP, di sini, hari ini.

“MPP akan memanjangkan serta memperluaskan kategori pertandingan seumpama ini kepada semua lapisan masyarakat terutamanya warga belia pada masa hadapan.

“Bersyukur kita kerana penganjuran program kali ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pihak sekolah, serta mendapat perhatian pihak lain,” katanya.

BERCAKAP…Lo Khere Chiang berucap pada majlis penyampaian hadiah pertandingan tandas awam bersih 2022 dan pertandingan melukis poster tahun 2022.

Tegas Lo, penganjuran tersebut merupakan salah satu usaha MPP untuk membudayakan penjagaan tandas serta mempraktikkan persekitaran hidup bersih dalam kalangan kanak-kanak khususnya pelajar sekolah.

Usaha ini katanya, bagi memastikan kawasan tandas di bawah bidang kuasa MPP sentiasa dalam keadaan selesa, bersih dan selamat untuk digunakan oleh semua pelajar.

“Ini secara tidak langsung dapat memupuk budaya supaya anak-anak kita tahu cara menggunakan tandas dengan baik,” jelasnya.

Suara Sarawak