TUNKU AZIZAH tiba di LTAK sebelum berangkat pulang selepas lawatan rasmi empat hari di Kuching, pagi tadi.

KUCHING: Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berangkat pulang ke Pahang pagi tadi setelah lawatan rasmi empat hari di Kuching.

Keberangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sekitar 8:23 pagi disambut oleh isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Turut menyambut ketibaan baginda ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datuk Dr Sabariah Putit, isteri Timbalan Premier Sarawak Datin Enn Ong Siok Ean, isteri Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Datin Zuraini Abdul Jabbar dan isteri kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak Datin Sri Baduyah Bujang.

Sebaik tiba di Kuching pada Ahad, Tunku Azizah mengadakan lawatan ke Kompleks Penjara Puncak Borneo, Jalan Puncak Borneo dan seterusnya menghadiri Food Over Fire Festival and Theater di Fort Magherita pada sebelah malam.

Pada hari kedua, baginda berkenan mencemar duli ke Rumah Warisan Tan Sri Datuk Amar Abang Haji Ahmad Urai di Jalan Muda Hashim.

Sejurus itu menghadiri Majlis Lembaran Emas Siri Dua Borneo Textile Symposium di Hotel Pullman pada hari ketiga dan merasmikan Juma’ani Pavillion di Jalan Gersik Kuching pada hari keempat.

TUNKU AZIZAH tiba di LTAK sebelum berangkat pulang selepas lawatan rasmi empat hari di Kuching, pagi tadi.

Suara Sarawak