Johnny Pang menyaksikan persembahan tarian Datun Julud.

BINTULU: Usaha mengekalkan keharmonian negara yang memiliki masyarakat berbilang kaum dilihat bukan satu perkara mudah dan boleh dipandang enteng.

Justeru, semua lapisan masyarakat tidak kira di peringkat pemimpin negara, negeri, mahupun anak kecil perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keharmonian yang telah kita kecapi selama ini.

Berucap pada sambutan Pra Natal 2022 Kampung Kayan Kenyah Uma Luhat Ajang, Jalan Bintulu- Miri, Adun Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata sebagai rakyat Sarawak, orang ramai seharusnya berbangga menjadi model perpaduan antara kaum dan agama di negara ini.

Jelasnya, dalam mewujudkan masyarakat bersatu padu, kita perlu bertolak ansur dan menghormati pegangan agama dan adat resam orang lain, kerana ia merupakan inti pati merintis ke arah perpaduan kaum.

“Semangat muhibbah dan kehidupan yang sejahtera membolehkan rakyat di negara ini menjalankan kehidupan dengan lebih sejahtera tanpa sebarang gangguan yang boleh menimbulkan konflik atau kekacauan.

“Justeru, amat penting setiap rakyat berusaha mengekalkan persefahaman, kesejahteraan dan hubungan yang harmoni agar ikatan perpaduan masyarakat terus kukuh dan keamanan dapat dinikmati sampai bila-bila,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat di negeri ini khususnya Bintulu supaya tidak mudah terpedaya dengan dakyah golongan tertentu yang suka menggugat perpaduan kaum yang diamalkan sejak sekian lama di Sarawak.

“Semoga sambutan Pra Natal ini dapat mengeratkan perpaduan dan hubungan antara masyarakat setempat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik,” ujarnya lagi.

Johnny Pang bersama Luhat memotong kek simbolik sambutan Pra Natal 2022 Kampung Kayan Kenyah Uma Luhat Ajang, Jalan Bintulu-Miri.

 

Suara Sarawak