KUCHING: Seorang remaja perempuan dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam pembelian tiket loteri awam tanpa lesen, November lalu.

Tertuduh berusia 18 tahun dari Kampung Sungai Agas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga lima RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam masa yang sama, Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman penjara dua bulan terhadap remaja terbabit sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membeli tiket loteri awam tanpa lesen di sebuah kedai makan di Matang Jaya, kira-kira jam 3.45 petang, 30 November lalu.

Berdasarkan fakta kes, pada 30 November lalu, kira-kira jam 3.45 petang, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Padawan telah mengadakan satu serbuan di sebuah kedai makan di Matang Jaya kerana dipercayai terdapat aktiviti judi awam tanpa lesen.

Semasa serbuan, pihak polis berjaya menahan seorang remaja perempuan bersama peralatan yang disyaki digunakan untuk membeli tiket loteri awam tanpa lesen.

Hasil pemeriksaan ke atas telefon pintar yang diserahkan sendiri oleh tertuduh terdapat dalam aplikasi Whatsapp yang disyaki pertaruhan judi bola sepak dan jadual perlawanan selain menjalankan penjualan tiket loteri awam tanpa lesen.

Selain itu, barang kes turut dirampas seperti dua unit telefon pintar, empat keping kertas jadual Perlawanan Bola Sepak Dunia Qatar 2022 dan wang tunai berjumlah RM420.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak