KUCHING: Seorang remaja lelaki diperintahkan ke Sekolah Hendry Gurney sehingga berusia 21 tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, Mac lalu.

Hakim Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan demikian terhadap pesalah muda berusia 18 tahun selepas mengaku bersalah dan mendengar laporan sosial hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memasukan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badannya.

Dia melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, sekitar jam 3 petang, 15 Mac lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut
Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes,pada 15 Mac lalu,  sekitar jam 3 petang  pihak polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching  menahan seorang remaja lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Hasil saringan awal air kencing remaja tersebut didapati positif dadah.

Hasil laporan sampel urin tertuduh dari Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak mengesahkan tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak